d

Bahagia Maizul Pada Seni

Bahagia Maizul Pada Seni

Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my

‘KELUARGA bahagia hanyalah syurga yang lebih awal’ dan ‘orang bahagia adalah mereka yang hidup kerana hobinya’ adalah dua ungkapan yang pernah diucap pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 1925, George Bernard Shaw yang 100 peratus tepat apabila dikaitkan dengan keluarga ini.

Bagi Maizul Affendy Baharuddin, 42, ‘energi’ seni memang sudah lama mengalir dalam kalangan ahli keluarganya.

Bapanya, Prof Dr Baharudin Mohd Arus, 68, adalah pensyarah seni di Universiti Malaysia Sabah (UMS) manakala isterinya, Haryani Mohamad, 43, kini bertugas sebagai Pengarah Balai Senilukis Pulau Pinang.

“Sejak kecil lagi saya selalu ikut papa ke pameran seni di serata Malaysia dan di Amerika Syarikat ketika dia belajar

di sana dahulu.

“Tambahan pula papa berkerjaya sebagai pensyarah seni arca, maka memang darah seni dalam diri saya ini turun daripada dia.

“Malah, jika ditanya ‘artis’ mana yang paling berpengaruh pada saya, memang papa orangnya,” kata pensyarah komunikasi di sebuah kolej di Pulau Pinang ini.

Menurutnya, seni halus, seni grafik dan seni persembahan (teater) adalah tunjang dalam kariernya.

Seni juga, kata Maizul Affendy, seolah-olah menjadi penentu takdir yang amat penting dalam hidupnya.

“Jika tidak kerana seni, mungkin saya tidak bertemu dengan suri hati saya. Kami kenal ketika sama-sama belajar di sebuah kolej di Pulau Pinang ketika 1990-an dahulu.

“Dia (Haryani) kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) manakala saya di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

“Selepas sama-sama tamat pengajian, kami disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 2005,” kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Ditanya mengenai kembara seninya sejak lebih 20 tahun lalu, Maizul Affendy berkata, banyak nikmat dan kenangan manis dikecapinya.

“Banyak juga anugerah saya menangi antaranya Anugerah Utama Arca Terbaik dalam Pertandingan Artis Muda Pulau Pinang pada 2001, terpilih sebagai artis muda berbakat dan ikon universiti dalam program Spectrum U siaran RTM 1, memenangi anugerah utama Pertandingan Artis Muda Pulau Pinang pada 2013 serta terpilih sebagai finalis Bakat Muda Sezaman di Balai Senilukis Negara pada 2006.

“Selain itu, dahulu saya aktif dalam pementasan teater dan pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada Pertandingan Festival Teater Kebangsaan di Kuala Lumpur pada 2003.

“Saya juga pernah menghasilkan lebih 100 lukisan dan karya paling mahal pernah dijual bernilai RM12,000,” katanya.

Begitupun, katanya, kepuasan sebenar dalam berkarya muncul akhir tahun lalu apabila dia bersama bapa, Baharudin dan adik, Firdauz Ridzuan, 31, menjayakan pameran bersama di Galeri Seni Mutiara di Lebuh Armenia, Pulau Pinang.

MAIZUL (dua dari kanan), Firdauz (kanan), Haryani (tiga kanan) dan Baharudin (kiri) bersama Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan rakan penggiat seni yang sama-sama memeriahkan majlis perasmian ‘The Rendezvous-Trio Art Exhibition.
MAIZUL (dua dari kanan), Firdauz (kanan), Haryani (tiga kanan) dan Baharudin (kiri) bersama Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan rakan penggiat seni yang sama-sama memeriahkan majlis perasmian ‘The Rendezvous-Trio Art Exhibition.

Dalam pameran yang diberi nama ‘The Rendezvous-Trio Art Exhibition’ itu, setiap mereka menyumbang 12 karya catan menggunakan medium campuran dan arkrilik.

“Cabaran utama ialah mencari momen yang tepat dan menyediakan hasil karya masing-masing.

“Kami bertiga mempunyai ‘ritual’ dan perspektif berbeza dalam seni tetapi pengalaman berkongsi ruang pameran dengan keluarga terdekat sesuatu yang unik dan belum pernah saya rasakan sebelum ini,” katanya yang antaranya menampilkan karya bertajuk Dogma Siri 2, 3 dan 4.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:01 AM

Mon ‒ Sun: 10.30am ‒ 5.30pm
Call for appointment

Galeri Seni Mutiara @ The CEO
31-12-16 Lebuh Nipah 5,
Bukit Jambul, 11900 Penang
Malaysia.